fbpx

Empat warga asing ditembak mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan (dua kanan) menunjukkan pistol yang digunakan suspek untuk menyerang pegawai dan anggota polis di IPD Batu Pahat, Johor hari ini. Foto oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT

BATU PAHAT – Seramai empat lelaki warga asing ditembak mati selepas menyerang anggota polis dalam kejadian di Jalan Pagoh – Parit Sulong awal pagi hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam kejadian pada pukul 3.15 pagi itu, kesemua suspek mati berusia antara 23 hingga 40 tahun.

Menurutnya, sebelum kejadian, sepasukan pegawai dan anggota polis melihat suspek menaiki kereta Perodua Myvi dan Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik polis cuba merapati untuk membuat pemeriksaan, secara tiba-tiba pemandu serta penumpang yang menaiki Toyota Avanza bertindak agresif mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Manakala dua lagi rakan suspek cuba melarikan diri sebelum polis bertindak membalas tembakan serta menahan suspek yang cuba meloloskan diri,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, polis bertindak membalas tembakan bagi mempertahankan diri dalam serang tembakan selain suspek bertindak menyerang polis dengan menggunakan parang dan kerambit.

Jelasnya, keempat-empat suspek berjaya ditumpaskan di lokasi kejadian dan identiti mereka belum dikenal pasti.

Ujarnya, seorang pegawai polis cedera ringan pada bahagian tangan ketika bergelut dengan salah seorang suspek.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya berjaya merampas sepucuk pistol jenis Revolver berwarna hitam berisi enam kelongsong peluru, empat butir peluru, dua bilah parang serta sebilah pisau kerambit.

“Kereta Perodua Myvi yang digunakan suspek adalah kenderaan yang dilaporkan hilang di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru manakala Toyota Avanza menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Ayob Khan memberitahu, polis menemui beberapa peralatan pecah rumah dan beg pakaian dan kumpulan itu dipercayai aktif melakukan samun serta pecah masuk premis di sekitar negeri ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh selain menghalang penjawat awam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI