fbpx

Dua varian SARS-CoV-2 dikesan di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan mengenai penemuan dua varian SARS-CoV-2 di Sarawak membabitkan B.1.160.3 dan B.1.160 berdasarkan maklum balas daripada Unit Virology, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berhubung dua varian SARS-CoV-2 yang dikesan itu.

Menurutnya, varian B.1.160.3 diubah nama kepada B.1.470 berdasarkan kajian daripada Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

“Varian ini didominasi varian dari Indonesia sejak April tahun lalu dengan prevalen 67.6 peratus atau 76/108 dengan 76 daripada 108 bilangan penuh penjujukan genom adalah dari Indonesia.

“Negara lain yang melaporkan varian ini ialah Singapura (10.2 peratus; 11/108), Jepun (12.0 peratus; 13/108) serta minoriti di Taiwan dan Hong Kong. Varian ini ada mutasi D614G yang kini ditemui pada hampir majoriti varian SARS-CoV-2,” katanya pada Twitter di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, varian B.1.160 pula adalah varian yang lazim ditemui di Eropah sejak Julai 2020.

“B.1.160 bermula dari Perancis (11.2 peratus) dan kini didominasi oleh Denmark (28.0 peratus), Switzerland (15.4 peratus) dan United Kingdom (17.2 peratus).

“Varian ini mempunyai mutasi spike D614G dan S477N. Tetapi varian yang dominan di UK kini adalah varian B1.1.7 di mana 89.9 peratus ‘distribusi’ varian ini di dunia adalah di UK,” katanya.

Sementara itu, mengulas lebih lanjut mengenai dua varian ditemui di Sarawak, beliau berkata, tiada bukti varian B.1.160/B.1.470 tersebut mempunyai tahap kadar jangkitan atau ‘virulens’ yang lebih tinggi.

“Daripada kajian penjujukan genom di Semenanjung, strain yang serupa masih belum ditemui. Ia berkemungkinan dari Indonesia yang mendaftarkan 67.7 peratus strain serupa sejak April tahun lalu,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI