PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari depan.
Pelancaran DidikTV KPM akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 8 pagi pada hari pertama siarannya.
KPM berkata, DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV UNIFI bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
Katanya, bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.
“Buat pertama kalinya KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
KPM berkata, pewujudan saluran khusus itu merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.
Menurut KPM, DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.
“Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.
“Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan,” katanya.
KPM berkata, saluran DidikTV KPM juga merupakan satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.
“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini, KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7.