PUTRAJAYA – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada hujung bulan ini akan melibatkan pemberian vaksin secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.
Keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat jemaah menteri semalam.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan bersama berkata, maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing itu akan diumumkan kelak.
“Pemberian vaksin ini akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada 4 Februari lalu berkata, kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara ini mulai hujung bulan ini.
Sebanyak 26.5 juta individu atau 80 peratus populasi rakyat Malaysia disasar untuk menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam program tersebut. -K! ONLINE