JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang menerima tonik terbaik untuk memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo, Julai nanti selepas menghuni ranking No. 1 dunia acara pecut individu yang dikeluarkan oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) semalam.
Azizulhasni mengakui ranking tersebut mampu menjadi pembakar semangat buatnya untuk melakukan persiapan terbaik ke Tokyo, Jepun selain bertekad mahu memperbaharui rekod terbaiknya pada Sukan Olimpik Rio 2016 yang meraih pingat gangsa.
“Saya rasa gembira dengan berita ranking semasa ini. Sudah tentu ianya menjadi pemangkin semangat buat saya di dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo nanti.
“Bagi saya, ianya juga berita gembira buat arena sukan negara kita, diharap ianya sedikit sebanyak menjadi sumber inspirasi buat atlet-atlet muda di tanah air kita.
“Di samping itu, saya juga berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan agar segala persiapan saya berjalan lancar dan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo nanti, insya-Allah,” katanya semalam.
Berdasarkan kedudukan semasa yang dikeluarkan UCI semalam, Azizul berada di kedudukan teratas acara pecut selepas mengumpul 1,600 mata diikuti pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya di tempat kedua dengan 1,442.5 mata. Pelumba New Zealand, Sam Webster pula di tangga ketiga selepas mengumpul 1,390 mata.
Bagi acara keirin pula, Azizulhasni berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 1,740 mata dengan dipisahkan 50 mata berbanding pelumba No. 1 dunia, Kevin Quintero dari Colombia yang mengumpul 1,790 mata.
Sebagai rekod, atlet kelahiran Terengganu itu pernah dua kali meraih ranking No. 1 acara keirin pada musim 2008/2009 sebelum tampil cemerlang kembali merampas kedudukan itu