PUTRAJAYA – Mana-mana ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur kurang daripada 55 tahun kini dibenarkan membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki sedia ada.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu selepas KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.
Beliau berkata, langkah itu diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.
“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dan pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.
“Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1, dengan pengeluaran maksimum sebanyak RM60,000 manakala pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya dalam kenyataan hari ini. -K! ONLINE