PETALING JAYA – Pelawak Shuib Sepahtu tersentuh hati dengan kesungguhan ratusan anak muda dari seluruh pelosok Kelantan hadir mencuba nasib dalam sesi temu duga untuk mengisi kekosongan jawatan di dua buah cawangan kedai minumannya, Bubblebbe di Kota Bahru dan Kubang Kerian, Kelantan.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 37, berkongsi suasana ratusan anak muda beratur panjang ketika hadir ke temu duga yang diadakan baru-baru ini.
“Ramai datang dari setiap pelosok Kelantan. Sedihnya rasa macam nak ambil semua yang datang bekerja. Tetapi kekosongan buat masa ini hanya sekitar 40 tempat sahaja.
“Semoga ada rezeki mereka dan terus tabah dengan keadaan sekarang. Insya-Allah, Allah SWT maha besar, rezeki di mana-mana. Terima kasih sudi datang untuk sesi temu duga,” ujar Shuib.
Suami kepada penyanyi, Siti Sarah itu turut memohon maaf sekiranya ketika sesi temu duga itu dilakukan terdapat kekurangan yang mereka alami.
“Maaf jika ada kekurangan. Doakan kami agar lebih banyak cawangan dapat dibuka untuk memastikan lebih ramai anak muda mendapat peluang pekerjaan,” ujarnya. – K! ONLINE