PUTRAJAYA – Perbicaraan kes saman Puncak Niaga Holdings Bhd. (Puncak Niaga) bernilai RM13.5 bilion terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan satu pihak lain berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu, akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ketetapan itu dicapai selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini sebulat suara membenarkan rayuan Puncak Niaga dengan kos, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman itu.
Pengurusan kes saman terhadap Abdul Khalid dan Kerajaan Negeri Selangor itu ditetapkan pada 18 Februari ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk S. Nantha Balan berpuas hati bahawa plid yang dikemukakan menunjukkan terdapat
kausa tindakan yang munasabah berhubung `tort of misfeasance’ dalam pejabat awam terhadap Abdul Khalid.
Mahkamah berpuas hati bahawa kausa tindakan terhadap bekas Menteri Besar itu perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi.
Panel itu turut berpendapat, isu berhubung sekatan di bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam (PAPA) 1948 perlu ditentukan
menerusi perbicaraan kerana ia melibatkan persoalan undang-undang yang penting.
Sehubungan itu, panel berkenaan berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir terkhilaf ketika membatalkan saman Puncak Niaga yang memerlukan mahkamah itu untuk campur tangan dan mengetepikan keputusan tersebut.
Perbicaraan kes saman itu akan didengar di hadapan hakim yang lain kerana Akhtar telah berpindah.
Dalam keputusannya, panel tersebut turut berpuas hati bahawa elemen `tort of misfeasance’ dalam pejabat awam tidak berjaya diplidkan terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (defendan kedua) dalam
tuntutan saman itu.
Oleh yang demikian, mahkamah menolak rayuan Puncak Niaga dengan kos RM10,000.
Peguam Razlan Hadri Zulkifli mewakili Puncak Niaga, Edmund Bon Tai Soon mewakili Abdul Khalid, N. Surendran mewakili Mohamed Azmin manakala Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Nur Irmawatie Daud mewakili Kerajaan Selangor.- K!ONLINE