Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
BEKAS kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim sah kembali menyarung jersi pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mac depan.
Perkara itu diumumkan melalui satu video ringkas berdurasi 28 saat yang dimuat naik di laman Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers semalam.
Dalam video berkenaan, ketibaan pemain tengah itu disambut oleh Matthew Davies dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.
Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini pernah menyarung jersi skuad Harimau Selatan bermula tahun 2013 hingga 2018, sebelum berhijrah ke Melaka United.
Sementara itu, dalam laman Instagram JDT, pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat komen ringkas sekali gus mengesahkan kepulangan pemain berkenaan bersama Harimau Selatan.
“Welcome Home SR8. 8 for mission 8 (Selamat kembali SR8. 8 untuk misi 8,” tulisnya ringkas di ruangan komen.
Sepanjang kariernya bersama JDT, Safiq membantu pasukan itu menjuarai beberapa piala termasuk Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, kejuaraan Liga Super dan Piala AFC.
Pemain yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala AFC 2015 itu dijangka kembali menyarung jersi bernombor lapan.