TURIN – Jurulatih Juventus, Andrea Pirlo mula dibandingkan dengan Massimiliano Allegri selepas berjaya mengemudi pasukan itu ke perlawanan akhir Piala Itali.
The Old Lady memastikan tempat ke pentas final selepas menyingkirkan Inter Milan menerusi kemenangan 2-1 secara agregat meskipun aksi timbal balik di Stadium Allianz awal pagi semalam berakhir seri tanpa jaringan.
Kata Pirlo, biarpun baharu mengendalikan Juventus untuk musim pertamanya, namun beliau meletakkan sasaran untuk membawa pasukan itu menjulang beberapa kejuaraan.
“Memang saya ada sasaran tersendiri musim ini, iaitu untuk memenangi Piala Super Itali, layak ke final Piala Itali serta mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara.
“Tugas sebagai jurulatih lebih berat kerana anda perlu fokus pada perlawanan seterusnya, berbeza ketika bergelar pemain. Oleh itu, saya gembira dengan pencapaian ini,” kata Pirlo.
Tambah legenda Itali itu, beliau gembira dengan kekebalan benteng pertahanan yang berjaya mengekang pergerakan duo serangan berbisa Inter, Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez.
“Saya bertuah kerana memiliki benteng pertahanan yang baik. Bukan sahaja Giorgio (Chiellini), malah pemain-pemain lain turut beraksi dengan baik dan cukup berdisiplin di padang,” ujarnya lagi. – AGENSI