fbpx

Pelajar terbaik perakaunan pesan jangan putus asa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATIN Najwa (kiri) menerima sumbangan tablet dan wang tunai daripada Abdul Halim (kanan) di Batu Maung hari ini.

BALIK PULAU – “Jangan sesekali putus asa dalam apa juga perkara kita lakukan.”

Itu resipi kejayaan dan pesanan Fatin Najwa Azman, 22, iaitu pelajar yang tersenarai sebagai 10 terbaik di dunia dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember lalu.

Anak jati Batu Maung itu berkata, dia sendiri pernah mengalami kekecewaan dan berasa seperti mahu berputus asa setiap kali berdepan kesukaran ketika belajar.

Bagaimanapun, Fatin Najwa yang mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA) itu berkata, dia akan segera memotivasikan diri sendiri dengan menjadikan cita-citanya untuk bergelar juru audit bertauliah sebagai penguat semangat.

“Saya hanya pelajar biasa dan ada ketika wujud rasa putus asa namun saya cepat-cepat bangkit semula.

“Setiap peperiksaan untuk bergelar juru audit bertauliah bukan sesuatu yang mudah untuk saya, jadi saya perlu terus berusaha sehingga berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung di sini hari ini.

Berkat kejayaannya itu, Fatin Najwa menerima sumbangan wang tunai dan tablet daripada ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain.

Pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata, pengajiannya masih berbaki setahun untuk dihabiskan dan dia telah menyelesaikan sembilan daripada 13 kertas peperiksaan profesional untuk bergelar juru audit bertauliah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI