fbpx

Nadi solo FareedPF K-Clique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAREEDPF

NAMA-NAMA seperti MK, Tuju dan Noki daripada kumpulan hip hop K-Clique barangkali lazim di bibir peminat.

Pencapaian mereka bagaimanapun tidak menenggelamkan impak nadi anggota lain kumpulan yang mula mendapat tempat dalam arus perdana muzik tanah air menerusi lagu Mimpi (featuring Alif) itu.

Individu yang dimaksudkan ialah seorang anak muda berbakat besar yang menggunakan nama pentas FareedPF atau nama lengkapnya, Fareed Saddi.

Dia bukan sahaja seorang penyanyi rap, bahkan komposer dan penari berbakat besar.

Itu antara kualiti yang harus ada dalam diri seorang penghibur. Tinggal lagi, usaha dan kesungguhan untuk mara sejauh mungkin.

Dia juga perlu diberikan peluang dan ruang untuk memperkenalkan bakat kepada umum.

Melihat kemaraan rakan-rakan seperjuangan K-Clique secara solo dalam industri, Fareed tumpang bangga, namun bertegas, biar apa pun terjadi, bendera K-Clique akan terus berkibar.

FAREEDPF menyimpan impian untuk bekerjasama dengan pemuzik antarabangsa antaranya, Chris Brown.

Tumpang bangga, gembira

“Saya gembira dengan kejayaan MK, Tuju dan Noki yang masing-masing semakin ligat dengan muzik solo. Dalam K-Clique kami amat pentingkan persaudaraan. Kita bebas buat muzik solo, namun K-Clique tetap K-Clique.

“Ikatan dan persefahaman antara kami berlapan tetap utuh sampai bila-bila.

“Saya rasa orang akan faham yang disebabkan Covid-19 dan pandemik, banyak kerja tergendala terutama yang melibatkan perancangan sebagai kumpulan.

“Tetapi itu tidak bermakna yang kami sudah berpecah. Akan ada projek berkumpulan tidak lama lagi. Kami sedang menunggu masa yang tepat untuk meluncurkan projek itu.

“Kalau tiada aral melintang, insya-Allah tahun ini juga,” kata Fareed kepada HibGlam dalam satu wawancara secara dalam talian baru-baru.

Fareed dan beberapa ahli K-Clique lain sebenarnya masih ‘terperangkap’ di Sabah disebabkan beberapa kekangan, khusus pandemik Covid-19.

Situasi tersebut menyebabkan langkah mereka sebagai satu kumpulan agak terbantut.

“Melihat MK berkolaborasi dengan Joe Flizzow, Noki ke Anugerah Juara Lagu (AJL) dan bakat Tuju semakin menyinar sebagai vokalis, siapa yang tidak bangga?

“Mereka semua umpama adik-beradik. Kami sudah lalui banyak perkara bersama. Kejayaan mereka memberi motivasi kepada saya dan ahli kumpulan lain untuk terus menyumbang karya kepada peminat baik secara solo mahupun berkumpulan,” ungkap Fareed yang pernah menuntut di Universiti Curtin, Australia dalam bidang komunikasi.

FAREEDPF menyifatkan single terbaharunya, Nadi Ku sebagai trilogi kepada dua lagu terdahyulunya, Over You dan Forya.

Impian kolaborasi

Meneruskan perbualan, Fareed turut menyimpan impian untuk berkolaborasi dengan idola-idolanya. Kata orang, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Itu barangkali peribahasa yang menjadi pegangan buat Fareed demi merealisasikan hasrat terpendam.

Bukan ingin bersifat tidak realistik, namun Fareed pantas menyebut beberapa nama antaranya Too Phat dan Yuna. Di peringkat antarabangsa, dia memetik bintang R&B handalan, Chris Brown.

“Ini mungkin kedengaran terlalu ‘melebih’, namun saya memang ada impian untuk berkolaborasi dengan Chris Brown. Saya memang ada impian ini sejak dahulu lagi. Tak kisahlah orang nak cakap apa, namun berangan itu kan percuma?

“Saya teringin nak tengok K-Clique berkolaborasi dengan Too Phat. Kita tahu yang Too Phat sudah tidak lagi seperti ‘dahulu’.

“Kalau impian ini jadi kenyataan, saya akan jadi manusia paling gembira dalam dunia,” katanya.

Ujar Fareed, dia pernah bertemu Yuna dan sejak dari situ, dia memasang impian untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang membina nama di Amerika Syarikat itu. Fareed dan Yuna saling mengikuti dalam laman Instagram.

“Saya pernah jumpa dia sekali. Dia seorang yang sangat merendah diri walaupun pernah berkerjasama dengan nama besar seperti Usher, Pharell Williams dan ramai bintang global lain.

“Yuna merupakan artis wanita kegemaran saya. Dia telah berjaya meletakkan nama Malaysia di peta dunia.

“Saya percaya dia merupakan antara inspirasi terbesar bukan sahaja kepada saya bahkan kepada orang lain,” terang Fareed.

SEHINGGA kini FareedPF masih tersekat di Sabah akibat beberapa kekangan, khususnya Covid-19.

Nadi Ku

Selepas Over You dan Forya, Fareed bakal meluncurkan sebuah single baharu yang merupakan kesinambungan dua single tersebut berjudul Nadi Ku yang dimuatkan dalam mixtape (kompilasi), Dawn Di Wedgwood.

Lagu berkenaan bakal diluncurkan pada tanggal 14 Februari.

Fareed juga sempat berkongsi audio lagu berkenaan secara eksklusif kepada penulis menerusi WhatsApp.

“Harap anda suka lagu ini. Lagu ini diterbitkan saya sendiri. Boleh kata karya indie saya. Boleh juga cakap macam trilogi kepada dua karya solo sebelum ini.

“Saya buat lagu ini sekitar Disember tahun lalu.

“Ketika itu bermacam perkara berlaku, dengan Covid-19 dan tekanan ekonomi, saya rasa buat muzik baharu macam satu bentuk escapisme ke satu dunia lain.

“Seperti lagu Over You dan Forya, Nadi Ku juga ada elemen atau melodi retronya. Kalau anda dengar lagu ini tanpa menggerakkan badan atau berdansa, anda buat silap,” kata Fareed seraya membuahkan tawa.

Nadi Ku akan dilancarkan menerusi YouTube dan pelantar digital seperti Spotify, JOOX pada Hari Kekasih, 14 Februari nanti.

BIARPUN ramai dalam kalangan anggota kumpulan K-Clique aktif dengan karier solo masing-masing, FareedPF percaya, kebersamaan mereka sebagai sebuah kumpulan tetap utuh.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI