fbpx

Lelaki Orang Asli maut diserang gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Perhilitan melakukan siasatan di tempat kejadian warga emas diserang gajah liar di Hutan Simpan Sungai Teresap, Endau, Mersing semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki orang asli berusia 61 tahun maut dipercayai akibat diserang seekor gajah liar dalam satu kejadian di Hutan Simpan Sungai Teresap, Endau, Mersing, pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, warga emas itu dikenal pasti sebagai Din Janja.

Jelasnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.15 tengah hari.

“Ekoran panggilan tersebut, lima anggota Perhilitan telah pergi ke Klinik Kesihatan Endau dan mengesahkan mangsa maut dipercayai akibat dipijak gajah liar.

“Anak mangsa, Endra Din, 18, memberitahu dia bersama mangsa memasuki kawasan hutan berkenaan pada pukul 8.30 pagi untuk memancing ikan sebelum mereka diserang seekor gajah liar.

“Anaknya sempat melarikan diri dan mendapatkan bantuan daripada orang kampung pada pukul 10 pagi, manakala bapanya diserang gajah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Salman, mangsa berjaya dibawa keluar daripada kawasan itu kira-kira pada pukul 12 tengah hari namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

“Tinjauan kakitangan Perhilitan Mersing di lokasi kejadian bersama wakil Orang Asli mengesahkan terdapat kesan tapak kaki disyaki seekor gajah jantan, kesan tempat tidur gajah dan kesan pokok tumbang baharu yang disyaki dilakukan gajah tersebut.

“Serangan itu dipercayai melibatkan seekor gajah tunggal yang berpecah daripada kumpulannya manakala lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan laluan haiwan berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Salman turut memberitahu post mortem terhadap mangsa sedang dibuat bagi memastikan punca sebenar kematian.

Pihaknya turut menasihatkan agar orang ramai yang berhasrat keluar memancing ke dalam hutan untuk lebih berhati-hati dan memastikan kawasan tersebut selamat untuk dimasuki.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI