fbpx

Kuala Perlis sunyi tanpa pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA kedai makan yang beroperasi di Medan Selera Ikan Bakar Kuala Perlis yang terpaksa ditutup ekoran ketiadaan pelanggan sejak pelaksanaan PKP 2.0.

KUALA PERLIS – Kuala Perlis sememangnya terkenal sebagai ‘syurga’ makanan laut yang segar dan berkualiti di negeri ini.

Salah satu destinasi yang menjadi pilihan pengunjung ialah Medan Selera Ikan Bakar Kuala Perlis yang terletak berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis.

Bagaimanapun, reputasi yang dimiliki Kuala Perlis itu seolah-olah hilang ekoran penutupan hampir kesemua premis makanan yang terdapat di medan selera berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua pada 22 Januari lalu.

Keadaan itu dijangka berlarutan sehingga PKP berakhir kera­na rata-rata peniaga membuat keputusan untuk tunggu dan lihat dahulu sebelum membuka perniagaan masing-masing.

KEADAAN Terminal Feri Kuala Perlis yang lengang selepas ditutup susulan larangan rentas negeri sepanjang pelaksanaan PKP 2.0.

Pengusaha kedai makan Kak Bie Ikan Bakar, Shabi Ali, 45, berkata, dia mahu melihat sambutan pengunjung terlebih dahulu sebelum membuka kedai makannya di medan selera berkenaan.

“Saya nak tengok dahulu bagaimana sambutan pengunjung di kedai-kedai lain sebelum buka kerana bimbang rugi,” katanya ketika di sini semalam.

Katanya, pengumuman kerajaan membenarkan dua orang makan di satu meja tidak banyak membantu peniaga makanan berasaskan makanan laut yang memerlukan modal tinggi.

“Biasanya, modal bagi peniaga untuk menyediakan makanan laut segar seperti ikan bersaiz besar, ketam, udang dan sotong adalah melebihi RM1,000 sehari.

“Jika dapat untung beberapa ratus sahaja sehari, ia tidak mencukupi termasuk untuk bayar pekerja yang mana kebanyakan kedai ada lebih lima pekerja,” ujarnya.

Pengusaha Rohani Ikan Bakar, Nasrah Ramjan, 48, pula berkata, dia tidak akan membuka kedai makannya meskipun kerajaan telah membenarkan makan di kedai.

“Ia tidak sesuai bagi peniaga ikan bakar yang mana biasanya pelanggan kami datang menjamu selera satu keluarga,” katanya.

Ujarnya, tiada pengunjung yang akan masuk ke Kuala Perlis selagi Terminal Feri Kuala Perlis ditutup susulan larangan rentas negeri dalam PKP.

“Saya dan kebanyakan peniaga kemungkinan hanya akan buka kedai selepas PKP berakhir iaitu apabila pintu sempadan negeri dibuka semula,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Nor Azam Karap berkata, kira-kira 50 gerai dan restoran makanan laut di Kuala Perlis dijangka tidak akan dibuka sepanjang PKP ini.

“Ini susulan penguatkuasaan larangan rentas negeri yang mana terminal feri untuk ke Langkawi ditutup selain kebenaran hanya dua pelanggan makan untuk satu meja,” katanya.

Tambahnya, kerajaan selepas ini mungkin boleh mempertimbangkan jumlah pelanggan mengikut saiz meja dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI