fbpx

Kilang cemar udara berdepan digantung lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASAP hitam berlebihan yang dikeluarkan daripada sebuah kilang memproses kelapa sawit di Jenjarom, Kuala Langat.

KUALA LANGAT – Tindakan sebuah kilang memproses buah kelapa sawit di Jenjarom di sini yang dikesan kerap melakukan kesalahan melepaskan asap berlebihan ke udara mengundang padah apabila berdepan penggantungan lesen operasi.

Kilang yang beroperasi sejak 20 tahun lalu itu diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor pukul 4 petang tadi menerusi Ops Tahun Baru Cina 2021.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan mendapati kilang tersebut telah melakukan pencemaran asap hitam yang dilepaskan ke udara sejak dua hari lalu.

Katanya, pihaknya telah melakukan empat kali pemeriksaan mengejut sebelum ini dengan mendapati premis itu mempunyai rekod pematuhan yang tidak konsisten.

“Hasil siasatan dijalankan mendapati satu unit dandang dan alat kawalan pencemaran udara telah gagal beroperasi dengan sebaiknya.

“Keadaan itu menyebabkan pelepasan asap hitam melebihi had yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 telah dikeluarkan bagi memastikan tindakan pembaikan diambil segera oleh pihak kilang.

“Kita juga akan mengesyorkan pengantungan lesen operasi terhadap kilang tersebut,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Nor Aziah berkata, operasi yang bermula hari ini sehingga 14 Februari depan bertujuan membanteras pencemaran alam sekitar di Selangor semasa cuti musim perayaan Tahun Baru Cina. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI