fbpx

Kedai runcit Bangladesh degil diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA penguatkuasa MPK memasang pita sitaan di kedai warga asing yang diserbu di Jalan Kapar, Kapar, Klang, hari ini.-Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Biarpun pernah dikenakan tindakan sitaan dua bulan lalu namun dua warga Bangladesh terus berdegil menjalankan perniagaan kedai runcit tanpa lesen di Jalan Kapar, Kapar di sini.

Perbuatan terbongkar apabila premis berkenaan diserbu Majlis Perbandaran Klang (MPK) kira-kira pukul 2 petang tadi.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa MPK, Shahrul Hazri Abd. Majid berkata, serbuan itu dilakukan hasil aduan awam mengenai kewujudan aktiviti perniagaan tidak sah di kawasan tersebut.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat empat buah premis warga asing dengan dua daripadanya dijalankan warga Bangladesh yang pernah disita barangan mereka sebelum ini. Dua lagi merupakan kedai warga Aceh.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu daripada kedai runcit berkenaan turut menjual ayam hidup yang tidak diketahui tahap kebersihan kepada pelanggan walaupun telah diberikan amaran keras sebelum ini.

“Justeru, kita mengarahkan penutupan premis serta-merta mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Turut disita adalah barangan dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM3,000 daripada kesemua kedai tersebut.

Shahrul menegaskan, warga asing tidak sesekali dibenarkan menjalankan sebarang perniagaan apatah lagi kedai runcit tanpa lesen sah.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan pihaknya akan menyiasat pemilik sebenar kedai tersebut untuk tindakan lanjut.

“MPK tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk warga tempatan yang melakukan kesalahan tersebut.

“Kita akan menjalankan operasi seumpama itu secara berterusan dan menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI