PETALING JAYA- Keprihatinan pendakwah terkenal, Ebit Lew terus mendapat perhatian apabila menghadiahkan kereta jenis Perodua Myvi, komputer tablet dan duit belanja kepada ibu tunggal, Koh Kim Keok di Kota Bharu sempena Tahun Baru Cina.
Dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, Ebit berkata, dia juga akan membayar rumah sewa wanita itu setiap bulan.
Menurut beliau, dia menghadiahkan Perodua Myvi itu selepas wanita tersebut mengadu tidak mempunyai kenderaan untuk hantar anak ke sekolah.
“Saya mendapat maklumat keluarga ini susah dan sudah lama tidak menyertai makan besar dan tiada sambutan Tahun Baru Cina.
“Walaupun berketurunan Cina, tapi dia kenal saya. Dia selalu berdoa hendak berjumpa ustaz. Hari ini tiba-tiba (saya) ada depan mata,” katanya menerusi hantaran itu.
Wanita itu membesarkan anak yang ramai seorang diri selepas kematian suaminya dengan bekerja di sebuah kedai kopi.
“Anak perempuannya berhenti belajar kejururawatan kerana tiada duit untuk membayar yuran RM800 dan bekerja untuk membantu keluarga. Saya cadangkan (nak Kim Keok) untuk sambung belajar semula. Kami akan tanggung yuran jika belajar semula,” katanya. -K! ONLINE