fbpx

K2

Dekati burung unta di Ostrich Wonderland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAJAH ceria anak-anak prasekolah yang dapat mengenali beberapa haiwan peliharaan.

LADANG haiwan antara lokasi popular untuk membawa anak-anak beriadah ketika masa lapang yang mempunyai banyak manfaat untuk perkembangan minda mereka.

Aktiviti tersebut dapat mendekatkan anak-anak dengan alam sekitar serta menambah pengetahuan mereka mengenai pelbagai jenis haiwan, sekali gus mengelakkan generasi sekarang leka dengan gajet.

Salah satu lokasi menarik untuk dikunjungi bersama keluarga ialah Ostrich Wonderland yang terletak di Semenyih, Selangor.

Ladang seluas lima ekar itu kini mempunyai 60 ekor burung unta yang berasal dari Afrika Selatan dan mula diternak sejak tahun 1997.

Burung unta merupakan burung terbesar yang boleh mencapai ketinggian sehingga 243 sentimeter lantas ia telah dijadikan haiwan tunggangan untuk acara perlumbaan di utara Afrika dan negara Arab.

 

 

BURUNG unta menjadi tarikan utama pengunjung di Ostrich Wonderland, Semenyih.

Menurut Pengurus Ostrich Wonderland, Teh Tiong Shen, ladang tersebut mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2000 sebagai tempat untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat.

“Pada tahun 1997, ayah saya, Teh Kok Chuan, 58, telah mengimport 50 ekor anak burung unta yang berusia satu minggu dari Afrika Selatan untuk diternak di ladang ini.

“Ekoran minatnya yang mendalam terhadap bidang agrikultur, dia telah membuka ladang ini untuk lawatan orang ramai pada tahun 2000,” cerita pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal dari University of Nottingham Malaysia, Selangor itu.

Menariknya, Ostrich Wonderland bukan hanya menempatkan burung unta tetapi mempunyai pelbagai haiwan lain seperti kambing, kuda padi, lembu, monyet, arnab, itik, angsa dan lebih 10 jenis ayam.

Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman memberi makan haiwan-haiwan di ladang itu.

 

TELUR burung unta yang boleh dibeli
di Ostrich Wonderland.

 

Di samping itu, pelawat juga boleh membeli produk keluaran ladang tersebut seperti anak ayam, daging ayam, telur burung unta dan buah-buahan.

“Kapasiti ladang kami boleh menampung 150 hingga 200 orang pada satu-satu masa dan kebanyakan pelawat adalah murid prasekolah, pelajar serta keluarga mereka.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini, Ostrich Wonderland tidak dibuka untuk lawatan tetapi orang ramai boleh membeli produk ladang seperti biasa,” jelas anak ketiga daripada empat beradik itu.

Ladang tersebut beroperasi bermula 10 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali tutup pada Isnin.

Harga tiket masuk ke ladang tersebut ialah RM20 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak berusia 12 tahun bersama sepaket makanan haiwan.

 

PENGUNJUNG juga boleh bermesra dengan haiwan lain di sini seperti kuda padi yang sudah pasti turut menjadi perhatian kanak-kanak.

 

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Nabila Mohamad, 34, berkata, anak-anaknya sangat teruja dapat melihat burung unta dan haiwan-haiwan lain dengan lebih dekat di ladang tersebut.

“Kalau sebelum ini, anak-anak hanya melihat burung unta di kaca televisyen. Peluang melawat ladang itu cukup menggembirakan mereka apatah lagi dapat mendekati haiwan-haiwan lain serta memberinya makan.

“Anak-anak juga sangat seronok melihat itik dan angsa yang merupakan haiwan belaan di kampung. Kami tidak berpeluang melihatnya di desa kerana tinggal di kawasan bandar,” tutur wanita kelahiran Kuala Lumpur itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI