fbpx

Ceroboh satu hektar hutan simpan, tanam ketum gred A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Khalim (kiri) menunjukkan pokok ketum yang dirampas di Hutan Simpanan Kekal Sungai Terah, Gua Musang pada sidang akhbar di Pejabat Perhutanan Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU- Jabatan Perhutanan Kelantan menahan tiga lelaki selepas mereka disyaki menceroboh dan menanam pokok ketum secara haram di kawasan lebih satu hektar di Hutan Simpanan Kekal Sungai Terah, Gua Musang semalam.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 33 tahun itu ditahan ketika pihaknya menjalankan Operasi Bersepadu Ops Khazanah Siri 2 selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi, kelihatan dua orang suspek berada dalam sebuah bangsal dipercayai sedang khayal selain terdapat peralatan untuk memasak daun ketum di situ.

“Selepas itu, kita mendapati seorang lagi suspek datang ke bangsal itu dengan menunggang sebuah motosikal.

“Pemeriksaan di dalam bangsal itu membawa kepada penemuan selaras senapang angin buatan sendiri, tiga peluru hidup dan dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Dream,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhutanan Kelantan di sini hari ini.

Menurut Abdul Khalim, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas seunit tong gas, alat penimbang, periuk, dapur, bakul, daun ketum, satu botol berisi cecair disyaki kodein dan satu botol berisi cecair keperangan disyaki air ketum.

Ujarnya, berdasarkan pemeriksaan,daun ketum yang ditanam mereka dikategorikan sebagai gred A.

Katanya, hasil maklumat mendapati salah seorang suspek yang ditahan dipercayai merupakan tokan yang menjual daun-daun ketum itu.

“Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan menanam dan mengedar ketum di kawasan itu antara satu hingga dua tahun lalu.

“Ketiga-tiga lelaki itu menanam ketum di situ dengan berselindung di sebalik tanaman pokok getah dan durian yang turut diteroka secara haram oleh pihak lain,” katanya.

Abdul Khalim memberitahu, daun-daun ketum itu juga dijual pada harga RM100 sekilogram dan ketiga-tiga suspek yang ditahan turut mempunyai kemahiran untuk menanam tanaman itu termasuk mencantum pokok-pokok.

Katanya, semua suspek dan barangan rampasan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, ini merupakan rampasan pertama melibatkan tanaman pokok ketum secara haram di kawasan Hutan Simpanan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 47(1) dan 81(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN