PETALING JAYA – Kerosakan bilik sejuk beku akibat disambar api menyebabkan seorang pemilik kilang ayam berputih mata selepas kira-kira 1,200 ekor ayam yang mahu dihantar kepada pelanggan rosak dan tidak dapat dijual.
Berikutan itu, dia mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas kompresor bilik sejuk beku termasuk beberapa peralatan lain dan sebahagian dinding kilangnya rosak teruk dijilat api.
Terdahulu, satu kebakaran telah berlaku melibatkan tiga kilang, masing-masing kilang perabot, stor penyimpanan bawang dan juga kilang memproses segar di Jalan PJS 3, Taman Medan, semalam.
Pemilik kilang ayam, Azhar Abdul Razak, 52, berkata, kejadian disedari berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika dia bersama enam pekerjanya berada di kilang itu.
“Ketika kejadian, enam pekerja yang berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun sedang berehat di bilik di tingkat satu selepas selesai tugas sekitar pukul 12 tengah hari.
“Jeritan kuat pekerja sebuah tokong berdekatan kilang telah menyelamatkan kami sebelum saya bergegas ke tingkat satu mengejutkan keenam-enam pekerja yang masing-masing sedang tidur dan mandi,” ujarnya kepada Kosmo! di lokasi hari ini.
Dakwanya, kebakaran itu disyaki berpunca daripada kilang perabot sebelum ia merebak ke stor penyimpanan bawang dan juga kilang ayam miliknya yang terletak secara bersebelahan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.09 petang.
“Seramai 34 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala, Petaling Jaya, Subang dan Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran itu melibatkan tiga buah kilang yang mana kilang perabot musnah 90 peratus, stor penyimpanan bawang (30 peratus) dan Kilang memproses ayam (20 peratus),” ujarnya.
Katanya, kebakaran itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan punca kejadian masih dalam siasatan. -K! ONLINE