fbpx

233 institut memandu boleh gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Haslina Abdullah menunjukkan keadaan litar memandu di Akademi Memandu Kist (Amkist) Bachok yang lengang tanpa sebarang sesi pengujian dan pembelajaran sejak sebulan lalu.

BACHOK – Kira-kira 233 institut memandu di seluruh negara berupaya gulung tikar selepas mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM400,000 hingga RM1.5 juta sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula pada 16 Januari lepas.

Naib Presiden Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (Mapim), Nor Haslina Abdullah berkata, sehubungan dengan itu, beliau memohon pihak kerajaan memberi kelonggaran untuk institut memandu beroperasi agar syarikat tidak terus menanggung kerugian.

Menurutnya, pertimbangan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) amat diharapkan warga institut memandu khususnya tenaga pengajar yang kini hilang punca pendapatan.

“Kerugian turut ditanggung oleh calon pelbagai kategori yang ingin menduduki ujian memandu apabila lesen memandu L dan lain-lain sijil yang berkaitan tamat tempoh dan gagal diperbaharui dalam tempoh ini.

“Insititut memandu menanggung kos minimum sebanyak RM300 untuk seorang calon apabila mereka terpaksa menduduki semula kelas dan modul yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Akademi Memandu Kist (Amkist) di sini hari ini.

Nor Haslina berkata, Presiden Mapim, Datuk Hanafi Mat Zin telah mengemukakan permasalahan itu dan merayu kelonggaran diberikan menerusi satu surat pada 4 Februari lalu kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Mengulas lanjut, Nor Haslina berkata, kira-kira 8,000 tenaga pengajar tidak termasuk kakitangan pengurusan turut khuatir kemungkinan institut memandu gagal membayar gaji mereka bagi bulan ini.

Katanya, ini kerana, semua syarikat hilang sumber pendapatan selain terbeban dengan pembayaran pinjaman bank bagi pembelian motosikal, kereta, lori dan bas yang digunakan untuk sesi ujian.

“Sesetengah daripada syarikat terpaksa mencari sumber kewangan lain untuk melunaskan sewa bangunan, tapak dan pembelian komputer untuk kegunaan di dewan peperiksaan kelas memandu.

“Setakat ini, masih belum berlaku sebarang kluster Covid-19 melibatkan kelas memandu kerana kita amat mementingkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI