LONDON – Semakin ramai ahli politik di seluruh dunia dijangka berkongsi gambar mereka membuka baju ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan populariti di mata rakyat, demikian menurut beberapa pakar seperti yang dilaporkan akhbar Daily Mail hari ini.
Trend tersebut dipopularkan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis. Beliau yang berusia 52 tahun, mencetuskan sensasi di media sosial selepas membuka bajunya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Attikon, Athens baru-baru ini.
Ramai netizen terkejut melihat gambar Mitsotakin, malah sebilangan mereka memujinya kerana memiliki dada yang bidang.
Pemimpin di serata Eropah mula meniru tindakan itu termasuk wakil rakyat Britain, Johnny Mercer, 39, dan Menteri Kesihatan Perancis, Olivier Veran. Mereka mendedahkan dada dan berkongsi gambar menerima suntikan vaksin Covid-19 pada minggu ini.
Beberapa pakar penjenamaan berkata, walaupun mesej sebenar tindakan tersebut adalah menyebarkan kepada orang ramai bahawa vaksinasi adalah penting, perkongsian gambar secara online tersebut mungkin ‘helah’ untuk meningkatkan populariti dan profil awam ahli politik di mata rakyat.
“Perkara paling penting yang boleh dilakukan jika anda menjadi tumpuan orang ramai adalah dengan memberikan tanggapan yang baik dan mendorong minat serta memberi kesedaran.” kata pengulas jenama dan budaya popular, Nick Ede. – Agensi