SPEKULASI mengenai destinasi pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh akhirnya terjawab selepas pemain itu menandatangani kontrak secara rasmi bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.
Sumareh yang diperkenalkan menerusi rakaman video di laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers bakal menyarung jersi No. 13 apabila bersama skuad Harimau Selatan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Tolong bawa saya ke kelab terbaik di Malaysia. Selamat datang ke gelanggang juara,” kata status yang dimuat naik oleh laman sosial JDT semalam.
Sumareh menerusi status Instagram miliknya mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi peluang mewakili skuad Harimau Selatan yang dianggap terbaik pada saingan Liga M.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana membuka peluang untuk saya mewakili pasukan JDT. Saya akan gunakan kesempatan ini untuk terus membantu pasukan menjulang lebih banyak trofi selepas ini,” katanya.
Sebagai rekod, kehadiran Sumareh ke JDT sememangnya dijangka apabila Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan hasrat secara terbuka untuk menandatanganinya pada penghujung tahun lalu.
Pemain kelahiran Gambia itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila ‘berperang’ dengan bekas majikannya, Pahang sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) didenda AS$1.2 juta (RM4.9 juta) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.
Ia susulan keputusan pemain berusia 27 tahun itu menamatkan kontrak bersama Pahang selepas mendakwa pihak pengurusan tidak membayar gaji mengikut kontrak yang ditetapkan pada Ogos lepas.
Kemudian, Sumareh mengambil keputusan untuk berkelana mewakili kelab Liga Thailand, Police Tero FC dengan kontrak jangka pendek selama tiga bulan yang berakhir pada Disember lepas.
Sumareh adalah pemain baharu ketiga yang diumumkan oleh JDT musim ini selepas bekas pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham dan penyerang import dari Argentina, Jonathan Herrera.