LONDON – Bek tengah Tottenham Hotspur, Davinson Sanchez bersemangat tinggi untuk menewaskan Everton menjelang aksi pusingan kelima Piala FA di Stadium Goodison Park awal pagi esok.
Sanchez, 25, enggan Everton merosakkan ‘parti’ Spurs yang masih bersaing dalam semua kejohanan musim ini selepas mara ke pentas final Piala Liga England dan peringkat kalah mati Liga Europa selain menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tonggak pertahanan Colombia itu mengakui, kemenangan mampu menjadi milik mereka jika berjaya menampilkan rentak permainan sama seperti menewaskan West Bromwich Albion 2-0 pada aksi EPL di Stadium Tottenham Hotspur, Ahad lalu.
“Ini adalah musim terbaik untuk kami cuba melangkah ke final dalam semua kejohanan. Cabaran ini sangat mengujakan kami untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.
“Untuk itu, kami perlu menewaskan Everton terlebih dahulu jika mahu melangkah jauh dalam saingan Piala FA. Kemudian kami perlu bersiap sedia menghadapi Liga Europa dan final Piala Liga England (menentang Manchester City pada 25 April),” katanya.
Bagaimanapun, peluang terbuka buat Spurs dan Everton apabila masing-masing berjaya mencatat kemenangan berdasarkan dua pertemuan sepanjang tahun lepas.
Selepas bertemu Everton, skuad bimbingan Jose Mourinho itu bakal bertemu Manchester City untuk aksi EPL (14 Februari) dan seterusnya Wolfsberger AC dalam saingan Liga Europa pada 19 Februari ini. – AGENSI