PETALING JAYA- Peruntukan sebanyak RM 1 juta dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk bantuan kecemasan bagi meringankan beban koperasi-koperasi yang terjejas teruk akibat banjir di beberapa negeri di seluruh negara baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MADEC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dana bantuan di bawah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi itu akan disalurkan kepada 73 buah koperasi yang telah dikenalpasti di negeri-negeri yang terlibat.
“Negeri-negeri itu seperti di Pahang sebanyak 40 koperasi, Kelantan (3), Terengganu (9), Johor (9), Sarawak (2), Sabah (2), Perak (5), Negeri Sembilan (1), Melaka (1) dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1 : projek dan aset koperasi di Raub,Pahang).
“Bantuan ini akan akan dibuat terus kepada koperasi-koperasi yang terlibat dan akan dipantau pelaksanaannya oleh SKM Cawangan Negeri di peringkat negeri,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.
Junaidi juga berharap bantuan kecemasan ini dapat membantu koperasi membangunkan semula aktiviti ekonomi serta mengurangkan beban koperasi yang terjejas akibat bencana alam tersebut.
“Bantuan kecemasan ini akan digunakan sepenuhnya oleh koperasi untuk menampung ke atas apa-apa kerosakan premis, aset atau produknya yang teruk terjejas akibat banjir sebelum ini.
“Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu usaha SKM untuk memastikan kesejahteraan dan kelangsungan operasi koperasi terus bertahan dan dibela,” katanya.
Sehingga 9 Februari 2021, sebanyak RM427,120 bantuan kecemasan telah diluluskan oleh pihak SKM.
Junaidi turut berkata, bahawa dia sering menyarankan agar semua agensi di bawah MEDAC, untuk menyegerakan segala bentuk bantuan yang berkaitan demi membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam baru-baru ini.
“MEDAC dan SKM akan terus memastikan koperasi yang terjejas diberi perhatian yang sewajarnya, justeru ia diharap dapat meningkatkan kembali kapasiti koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan agar terus menjadi penyumbang efektif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.-K!ONLINE