PETALING JAYA – Gara-gara masalah dalaman keluarga, seorang remaja berusia 17 tahun maut ditikam oleh abang ipar sendiri di kawasan tempat letak kereta di di Jalan Pinggiran 3/1, Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sekitar pukul 8.40 malam polis yang bertugas di pondok Polis Hospital Selayang telah menerima aduan daripada seorang wanita tempatan yang memaklumkan adik lelakinya meninggal dunia di Zon Merah Hospital Selayang akibat ditikam.
“Hasil siasatan awal mendapati, telah berlaku pertengkaran mulut di antara suspek dengan isteri dan juga keluarga isteri di tempat kejadian sekitar pukul 7.45 malam.
“Ia berpunca daripada keengganan isteri untuk tinggal bersama-sama suspek disebabkan kurang selesa kerana rumah suspek turut dihuni oleh adik beradik yang lain,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, dalam insiden tersebut telah berlaku pertengkaran mulut, provokasi dan pergelutan di antara suspek dan mangsa.
“Mangsa dikatakan tidak berpuashati dengan suspek kerana telah mengeluarkan perkataan tidak baik kepada emaknya.
“Ekoran pergelutan itu, suspek cedera di bahagian dada manakala mangsa turut cedera di bahagian yang sama akibat terkena tikaman,” ujarnya.
Beliau berkata, pada awalnya mangsa mengalami cedera parah bagaimanapun dia kemudiannya meninggal dunia di Zon Merah Hospital Selayang.
“Seterusnya mangsa dibawa ke Hospital Selayang dan telah disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.40 malam oleh doktor yang bertugas dan mayat mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
“Motif kejadian disyaki berpunca kerana mangsa mencampuri urusan dan masalah rumahtangga suspek dan isterinya,” ujarnya.
Ujar beliau, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah membuat tangkapan selama dua hari dan berjaya memberkas sembilan suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita tempatan berusia 25 hingga 72 tahun di sekitar Batu Caves bagi membantu siasatan.
“Polis juga telah berjaya menemui dan merampas sebilah pisau lipat berukuran 17 sentimeter (cm) di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan di dalam kes berkenaan.
“Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin lalu hingga Ahad depan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK). – K! ONLINE