fbpx

Pertumbuhan sektor perdagangan borong, runcit terendah dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia merekodkan pertumbuhan per­dagangan borong dan runcit pa­ling rendah dalam sejarah tahun lalu, dengan kemerosotan 5.9 peratus kepada RM1.2 trilion berbanding tahun 2019.

Statistik tersebut diperoleh daripada laporan ­prestasi perdagangan borong & runcit, Disember 2020 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan semalam.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai jualan perdagangan borong & runcit merekodkan RM115.5 bilion pada Disember 2020, iaitu pertumbuhan menurun seba­nyak 0.3 peratus tahun ke tahun.

Jelasnya, pertumbuhan negatif itu disebabkan penguncupan perdagangan runcit sebanyak dua peratus atau RM0.9 bilion kepada RM46.8 bilion berbanding Disember 2019, manakala perdagangan borong turut susut kepada RM55.3 bilion.

“Kenderaan bermotor masih mengekalkan pertumbuhan positif dengan kenaikan RM0.9 bilion atau 7.4 peratus untuk mencapai RM13.4 bilion.

“Sementara itu, nilai jualan bulan ke bulan meningkat 4.6 peratus pada Disember 2020 berbanding November selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ditamatkan kecuali di beberapa negeri dan daerah yang masih merekodkan kenaikan kes harian.

“Bagi prestasi tahun 2020 berbanding 2019, nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan terendah dalam siri masa iaitu penyusutan sebanyak 5.9 peratus untuk mencapai RM1.2 trilion,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, jualan kenderaan bermotor terus memacu pertumbuhan dengan peningkatan 15.3 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM7.5 bilion, diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang mencatatkan nilai RM1.1 bilion, meningkat 6.9 peratus.

“Sebaliknya, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor menguncup sebanyak 3.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya untuk merekodkan RM1.6 bilion, manakala jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor turut merosot 2.6 peratus kepada RM3.2 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang te­rus melonjak dengan merekodkan pertumbuhan 37.3 peratus tahun ke tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI