SEREMBAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan merampas seekor Ungka Tangan Putih di Kuala Pilah, Isnin lalu.
Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah rumah penduduk berusia lingkungan 50an terbabit telah menemui seekor binatang dilindungi yang berada di dalam sebuah sangkar di luar rumah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemilik premis tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen penyimpanan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia.
“Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Melang, berkenaan kes ini.
“Kesemua barang kes yang dirampas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah dibawa ke Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Wan Mat berkata, binatang dilindungi berkenaan telah di bawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, individu yang bekerja sendiri berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 68 akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pada 27 Januari, Perhilitan NS telah merampas 15 burung pelbagai spesies di sebuah rumah dipercayai peneroka di Felda Palong Gemas.-K!ONLINE