KUCHING – Lima orang cedera setelah nekad terjun untuk menyelamatkan diri daripada sebuah bangunan flat yang terbakar di Lorong 7, Taman Suria Jaya, Jalan Matang di sini, hari ini.
Sepasang suami isteri bersama anak bayi mereka turut terselamat dengan bantuan pihak bomba dalam kejadian pukul 5.12 pagi itu.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, insiden kebakaran itu melibatkan bangunan jenis kekal empat tingkat yang mempunyai 14 unit kediaman.
“Kesemua lapan mangsa yang terlibat dilaporkan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tujuh buah motosikal turut rosak dalam kebakaran terbabit.
Operasi pemadaman telah dilakukan oleh dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang.
“Keadaan kebakaran dilaporkan terkawal pada pukul 5.43 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.21 pagi,” katanya lagi. – K! ONLINE