Kerajaan beri kebenaran sesi latihan secara kuarantin untuk Liga M, MHL, STL
MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kerajaan sudah memberi ‘lampu hijau’ untuk aktiviti sukan berkumpulan mengadakan sesi latihan secara kuarantin berpusat bermula 15 Februari depan.
Pengumuman itu dibuat Ismail Sabri dengan merujuk kepada penganjuran tiga kejohanan liga utama yang dijangka berlangsung bulan depan iaitu Liga Malaysia (Liga M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw Malaysia (STL).
Ismail Sabri berkata, kelonggaran itu diberikan selepas mendengar pembentangan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menghidupkan semula industri sukan tanah air.
“Pihak kerajaan telah memberi kebenaran untuk pasukan-pasukan yang bersaing dalam Liga M, MHL dan STL untuk menjalani latihan berpusat secara kuarantin bermula pada Isnin depan (15 Februari).
“Keputusan ini dibuat selepas mendengar pembentangan daripada KBS selain melakukan penilaian risiko dengan pelbagai agensi.
“Bagaimanapun, barisan yang mengikuti pusat latihan secara kuarantin nanti perlu mengikut model gelembung sukan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.
Ismail Sabri turut mengesahkan status kebenaran melibatkan atlet sukan acara individu hanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa saingan Liga M yang sepatutnya bermula pada 26 Februari ditunda ke tarikh baharu pada 5 Mac depan.
Ia susulan keputusan pihak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di seluruh negara kecuali Sarawak bermula 13 Januari hingga 18 Februari ini.
Saingan MHL dan STL yang sepatutnya dilangsungkan pada Januari lepas turut ditunda ke tarikh baharu yang akan diputuskan oleh badan induk organisasi sukan itu kemudian.
Sebelum ini, saingan Liga M pernah ditunda lebih lima bulan susulan penularan wabak pandemik Covid-19 pada tahun lalu selain saingan Piala Malaysia dan Piala FA turut dibatalkan.