LONDON – Sebuah ladang ternakan di Dorset, England memberi layanan istimewa kepada lembu peliharaan di situ dengan menyajikan alunan muzik konsert ketika proses memerah susu dilakukan, lapor The Sun, kelmarin.
Idea mengadakan konsert khas buat ternakan ini dipercayai mampu menjadikan ‘mood’ lembu berada dalam keadaan baik dan menjadikan susu yang dihasilkan lebih berkualiti.
Konsert ini diadakan minggu lalu di dalam kandang yang dipenuhi lembu dan diketuai pemuzik yang pernah terlibat dalam persembahan artis popular seperti Rod Stewart dan Rolling Stones iaitu Ben Waters.
Menurut Waters, hampir 120 ekor ternakan di kandang itu kelihatan seronok dan menikmati muzik jazz dan rock yang dimainkannya sepanjang proses memerah susu dijalankan.
“Saya rasa lembu-lembu ini suka dengan idea memasang lagu ketika susu diperah.
“Ada yang sanggup mengeluarkan kepala dari pagar kandang untuk mendengar muzik dengan lebih jelas. Saya rasa haiwan itu gembira,” katanya.
Perkara itu turut diakui oleh salah seorang pekerja ladang, Rex Fisher yang memberitahu, ‘mood’ lembu-lembu tersebut lebih baik ketika muzik dimainkan.
“Saya yakin susu yang dihasilkan lembu ini selepas mendengar lagu-lagu konsert ini akan menjadi lebih sedap serta manis,” katanya. – Agensi