PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan aduan berkaitan sektor perolehan paling tinggi direkodkan iaitu sebanyak 42.8 peratus dalam tempoh lima tahun bermula 2013 hingga 2018 berbanding sektor-sektor lain.
Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf berkata, berdasarkan jumlah itu ia menunjukkan kes rasuah melibatkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam dilihat semakin kritikal.
“Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki. Berdasarkan fakta-fakta tersebut, pegawai awam yang terlibat dalam menguruskan perolehan perlu lebih berhati-hati melaksanakan tugas mereka.
“Bukan sahaja rasuah, mereka juga perlu mengambil perhatian terhadap beberapa kesalahan lazim yang sering terjadi dalam perolehan awam,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Secara umum, perolehan awam merujuk kepada pembelian barangan, perkhidmatan dan kerja oleh kerajaan dan perusahaan milik awam.
Jelasnya, melalui belanjawan tahun 2020, sebanyak RM241 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM56 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
“Berdasarkan jumlah ini, sektor perolehan dikategorikan paling berisiko berlaku rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Isu-isu dan kesalahan ini berpunca sama ada disebabkan oleh salah urus perolehan, kecuaian pegawai, kesilapan dalam pembekalan, rasuah, penyelewengan dan salah guna kedudukan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, jika diperincikan terdapat tujuh kesalahan utama yang termaktub di dalam perolehan awam ini.
“Kesalahan tersebut melibatkan perolehan pada harga yang tidak munasabah, pembekalan tidak mengikut spesifikasi, pembayaran tidak mengikut prosedur (Improper payment), penggunaan ‘orang tengah’ dalam urusan perolehan, perolehan secara pecah kecil, penerimaan hadiah oleh penjawat awam dan campur tangan legislatif atau ‘wahyu’,” ujarnya.
Justeru itu, katanya, SPRM mewujudkan salah satu inisiatif Pelan Antirasuah Nasional yang memperuntukan undang-undang berkaitan salah laku penjawat awam yang menyebabkan ketirisan dan kerugian secara sengaja kepada kerajaan.
“Sekiranya peruntukan baharu ini wujud, penjawat awam yang telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah,” ujarnya. – K! ONLINE