Kekeliruan terhadap sesetengah prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 masih berlaku.
Sepatutnya SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kali ini akan mudah difahami kerana lebih setahun kita melalui tempoh pelaksanaannya.
Bermula PKP pada Mac 2020, diikuti PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan dan kembali semula PKPB dan PKP 2.0 selain PKP Diperketatkan di beberapa tempat.
Antara yang mengelirukan ialah pergerakan keluar rumah.
Berdasarkan SOP MKN PKP 2.0, pergerakan adalah terhad di dalam radius 10 kilometer (km) dari rumah selagi tidak merentas daerah dan negeri.
Radius ialah garis dari pusat ke keliling lingkaran.
Ini bermaksud dari rumah sehingga ke keliling lingkaran sejauh 10 km. Namun, kekeliruan timbul apabila terdapat maklumat bahawa pergerakan keluar rumah terhad kepada 10 km dari rumah sahaja.
Jika mengikut formula itu dengan melalui jalan raya, jarak tersebut adalah tidak jauh berbanding radius.
Kekeliruan juga berlaku dari segi tempat tinggal. Misalnya penduduk di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.
Pentadbiran kawasan itu terletak di bawah Majlis Daerah Kuala Selangor, namun pihak berkuasa ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dan Parlimen pula Sungai Buloh serta poskod juga Sungai Buloh.
Adakah mereka berada di daerah Kuala Selangor atau Sungai Buloh? Di sinilah berlaku percanggahan pendapat.
Selain itu, masih ramai juga yang keliru dengan pemakaian pelitup muka di tempat awam.
Ada mendakwa tidak perlu pakai jika bersendirian di tempat awam atau bukan berada di tempat sesak, namun ada juga kata wajib pakai apabila berada di tempat awam.
Sebelum ini, kekeliruan mengenai pendaftaran aplikasi MySejahtera di stesen-stesen minyak turut berlaku apabila setiap individu dikatakan wajib mengimbas kod MySejahtera.
Namun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian menjelaskan, hanya individu yang memasuki kedai di stesen minyak serta memasuki surau atau tandas perlu mengimbas kod MySejahtera atau isi buku manual.
Mingguan Malaysia Ahad lalu melaporkan, seramai 100,000 pegawai dan anggota polis masih keliru dan bercanggah pendapat berhubung pematuhan SOP PKP.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar mengakui masih terdapat kekangan daripada pihak penguatkuasaan sendiri dalam proses menyalurkan maklumat kepada semua peringkat mengikut SOP MKN.
Katanya, perkara ini tidak dapat dielakkan kerana setiap orang mempunyai pemahaman berbeza, malah SOP sentiasa berubah mengikut keadaan, namun perkara itu akan diperbaiki dari masa ke masa.
Justeru, jangan kita mudah menyalahkan pihak berkuasa kerana sebahagian mereka juga keliru. Jangan pula kita sengaja buat-buat keliru atau mengelirukan orang lain pula dengan menyebarkan maklumat yang boleh memberi pelbagai tafsiran.
Jika waswas, lebih baik cuba elakkan segala tindakan yang boleh menyebabkan kita dikompaun RM1,000.-K! ONLINE