SEBERANG PERAI – Jabatan Perikanan negeri telah mengambil tindakan segera sejurus menerima laporan daripada nelayan berhubung penemuan bangkai ikan di Sungai Perai di sini semalam.
Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya segera mengambil sampel air sungai sebelum dihantar ke Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Batu Maung dekat sini.
“Dua petugas Jabatan Perikanan Seberang Perai telah mengambil sampel di lima lokasi di Sungai Perai sejurus aduan diterima semalam.
“Turut serta sewaktu pengambilan sampel air tersebut adalah kakitangan dari Jabatan Alam Sekitar negeri.,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Noraisyah berkata, pihaknya menyeru orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan sungai yang menyumbang kepada pendapatan nelayan dan makanan manusia melalui sumber hidupannya.
“Jika orang ramai ada melihat kes kematian ikan secara besar-besaran, segeralah hubungi Jabatan Perikanan terdekat kerana kita perlu ambil sampel semasa kejadian bagi mengetahui puncanya,” katanya lagi.
Kosmo! Online hari ini melaporkan orang awam di Taman Kimsar, Perai terkejut selepas mendakwa melihat ribuan ekor ikan mati di dalam Sungai Perai semalam.
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshel berkata, pihaknya hari ini turut membuat laporan polis selepas menerima maklumat awal berhubung satu insiden pelepasan air tanpa dirawat ke dalam Sungai Perai oleh sebuah kilang di tepi sungai itu. – K! ONLINE