SABAK BERNAM: “Selain mengimbau memori indah bersama arwah, semua makanan itu disedekahkan untuk berkongsi rezeki dengan pelanggan,”.
Demikian kata balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd. Ali, 29, yang memberi sebanyak 200 makanan percuma kepada orang ramai sempena genap setahun pemergian pelawak terkenal itu, hari ini.
Semua makanan masing-masing 100 bungkus mi kari dan bihun sup itu diserahkan kepada mereka yang datang ke kedai makan miliknya di Medan Selera Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Jalan Tebedu, di sini.
Siti Nurhidayah berkata, Allahyarham Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, sememangnya gemar makan mi kari masakannya dan ahli keluarganya terutama ketika Hari Raya Aidilfitri.
“Jika pergi ke rumah keluarga saya selama ini, arwah sentiasa memuji masakan mi kari yang dianggap amat lazat dan boleh dijual di kedai.
“Kini, genap setahun arwah pergi meninggalkan kami dan Allah S.W.T memakbulkan doa saya untuk berkongsi rezeki dengan pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedainya itu.
Dalam pada itu, dia memaklumkan kedai makannya beroperasi setiap hari bermula dari pukul 11 pagi hingga 4 petang.
“Kedai makan kami menyediakan pelbagai masakan panas untuk para pelanggan.
“Selain itu, menu istimewa yang disediakan antaranya cendol dan air batu campur (ABC) durian,” katanya.
Allahyarham Abam meninggal dunia dipercayai akibat demam panas di kediamannya di Gombak, kira-kira pukul 7 pagi, 10 Februari tahun lalu.
Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Siti Nurhidayah pada 8 Disember 2017 dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.-K!ONLINE