fbpx

‘Ini syurga saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sarah duduk di hadapan pintu rumahnya di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah semalam.

TANAH MERAH – Seorang warga emas menggunakan kesemua wang simpanannya sebanyak RM5,000 yang dikumpul daripada hasil menoreh getah untuk membina sebuah rumah sebesar bilik tidur di Kampung Chat Rimau di sini.

Rumah yang dibina sejak tiga tahun lalu itu sudah dianggap seperti syurga buat Sarah Jusoh, 63, walaupun sehingga kini tidak siap sepenuhnya, malah tiada bekalan elektrik dan air.

Menurut Sarah, dia tidak kisah untuk hidup dalam serba kekurangan di dalam rumah sebesar sembilan meter persegi itu asalkan tidak menyusahkan orang lain.

Katanya, rumah itu dibina sendiri oleh cucu dan rakan-rakannya di atas tanah rizab dengan bayaran sewa sebanyak RM40 sebulan.

“Jika mahu menggunakan bekalan air, saya akan mengambil daripada jiran sebelah rumah. Ketika malam hari, cahaya pelita sudah cukup menerangi rumah kecil ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurut Sarah, dia tinggal sendirian sudah hampir 30 tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.

Katanya, dia juga tidak mahu bergantung hidup kepada anak perempuannya berusia 42 tahun kerana anaknya itu juga kesempitan wang serta mempunyai sembilan orang anak dan suami yang menghidap penyakit kencing manis kronik.

Ujarnya, sebelum ini, dia menyewa di merata-rata tempat mengikut kawasan untuk menoreh getah, namun mengambil keputusan untuk menyewa di tanah rizab itu selepas tidak be­kerja.

“Saya sekarang membela beberapa ekor itik serati yang boleh dijual sekiranya terdesak.

“Cucu perempuan berusia 17 tahun sering menemani saya ketika musim cuti sekolah. Selain anak, jiran-jiran banyak memberi sumbangan terutamanya keperluan asas,” katanya.

Prihatin dengan kehidupan Sarah, Ketua Penolong Ketua Jajahan (KPKJ) Pembangunan Tanah Merah, Sofian Amir Che Soh hadir untuk melihat keadaan warga emas itu.

Dalam kunjungan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi sumbangan bantuan segera wang tunai sebanyak RM300 dan bakul makanan, manakala Pejabat Tanah Tanah Merah menyumbangkan bekalan makanan kepada Sarah.

Menurut Sofian Amir, beliau akan membantu warga emas itu terutamanya aspek pembinaan tandas, bekalan elektrik dan air bersih di rumahnya.

“JKM juga akan membuat pengesyoran bagi bantuan bulanan kepada Sarah untuk meringankan bebannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Sarah boleh menghubungi Penghulu Mukim Banggol Jenereh, Wan Doti Nurzarina Wan Yahya menerusi talian 014-942 4508._K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI