fbpx

Fauziah Nawi menjunjung kasih kesudian Yang di-Pertuan Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fauziah (enam dari kanan) bersama beberapa penggiat seni di hadapan pejabat Istana Negara hari ini.

PETALING JAYA – Pelakon vateran, Fauziah Nawi merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas keprihatinan dan kepekaan terhadap keluh kesah semua penggiat seni yang terkesan akibat dari penularan Covid-19.

Jelas Fauziah dalam hantarannya di Facebook hari ini berkata, ramai penggiat seni yang amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama ini.

“Alhamdulillah, atas titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda, patik bersama beberapa rakan seperjuangan dapat untuk bertemu dengan pegawai-pegawai Istana Negara pada pagi hari ini.

“Dalam pertemuan ini, patik-patik semua telah diberi peluang meluahkan dan menyuarakan masalah dan keperitan yang dihadapi serta keadaan sebenar yang diharungi oleh anak-anak seni pada ketika ini,” jelasnya di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Fauziah meluahkan kesudiannya dan bersedia untuk berjumpa pembesar negara termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi memohon kebenaran untuk penggiat seni menjalankan penggambaran.

Ia susulan hantaran yang dimuat naik Fauziah di Facebooknya sebelum ini yang menyuarakan hasrat bagi merafak sembah untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong.

Tambah Fauziah, kumpulannya juga telah memberi beberapa pandangan dan cadangan supaya anak-anak seni, tanpa mengira cabang seni yang diceburi, khususnya supaya diberi kelonggaran dengan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) untuk bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup dan keluarga.

“Orang macam kami, ada kerja, ada gaji. Tidak ada kerja, tak ada gaji. Sejak penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP, anak-anak seni tidak terkecuali dari tekanan ekonomi yang melanda ramai rakyat Malaysia dipelbagai sektor perniagaan yang disekat untuk beroperasi.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Kesihatan (KKM), Finas dan semua persatuan-persatuan dalam industri seni di atas usaha-usaha baik dalam menangani permasalahan yang sedang di hadapi,” ujarnya.

Katanya,semoga luahan dan perkongsian ini mendapat perhatian KDYMM Seri Paduka Baginda yang amat prihatin terhadap nasib dan keperitan hidup rakyat yang amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Patik-patik semua mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan berpanjangan serta berada di bawah riayah dan perlindungan Allah SWT serta kekal memerintah negara dan menaungi rakyat dengan adil dan saksama,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI