AMPANG JAYA – Dua lelaki tempatan tidak sempat menikmati habuan daripada hasil judi apabila dicekup polis ketika leka berjudi secara dalam talian di sebuah premis di Taman Cahaya, Ampang di sini kelmarin.
Selain dua pemain tersebut, dua lagi pekerja warga asing termasuk seorang wanita berumur lingkungan antara 25 hinggga 51 tahun turut diberkas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat menerusi Ops Dadu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Ampang telah menjalankan serbuan di premis berkenaan sekitar pukul 7.15 malam.
“Hasil serbuan telah berjaya menangkap empat individu yang berada di dalam premis itu, dua daripadanya yang merupakan pekerja warga asing gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Oleh itu, kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 sehingga 21 Februari nanti,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, dua individu yang bertindak sebagai pemain telah dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kedua-duanya direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok (Khamis).
“Pemeriksaan lanjut juga telah menemui lima unit komputer riba dan enam tablet yang berada di ruang hadapan premis dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, hasil risikan turut mendapati premis tersebut merupakan pusat snooker bagaimanapun ia tidak beroperasi sejak PKP pertama tahun lalu.
“Premis terbabit kemudiannya telah diambil alih oleh penyewa yang tidak dikenali dengan membuka pusat perjudian secara dalam talian sejak pertengahan Januari lalu dan telah beroperasi kira-kira tiga minggu,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-K!ONLINE