KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik inisiatif FWD Takaful Berhad yang bersetuju menyalurkan tambahan RM5 juta ke dalam dana MOH FWD MY Heroes.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, dana itu akan disalurkan untuk petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.
“Keseluruhan dana berjumlah RM10 juta itu juga dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini berikutan berlakunya peningkatan jangkitan dalam kes harian Covid-19 yang boleh meningkatkan risiko petugas.
“Jadi, kami berharap ketua-ketua jabatan di KKM dapat memaklumkan kepada semua kakitangan mereka mengenai dana MY Heroes selain memudahkan urusan dokumentasi tuntutan,” katanya tadi.
Katanya, dana itu diuruskan oleh Pusat Khidmat Tuntutan CuepacsCare dan sejumlah RM3.23 juta telah dibayar kepada petugas barisan hadapan KKM serta ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19.
“Pada mulanya MY Heroes memperuntukkan sebanyak RM5 juta dan tambahan sebanyak RM5 juta lagi dibuat sebagai inisiatif menyokong barisan hadapan KKM.
“Pembayaran ihsan dana MY Heroes sebanyak RM40,000 akan diberi sekiranya berlaku kematian kepada petugas barisan hadapan manakala sejumlah RM10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke wad ICU, RM2,000 (wad biasa) dan RM10,000 untuk lain-lain punca kematian,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Adnan mewakili Cuepacs menarik semula kenyataan yang mendakwa kemungkinan wujudnya pegawai tertinggi kerajaan bertindak mensabotaj kerajaan semasa melalui pelaksanaan pekeliling perkhidmatan berkaitan penjawat awam.
“Perkara ini sebenarnya tiada dalam konteks yang cuba disampaikan oleh Cuepacs. Dalam hal ini, kami mengakui tiada pegawai kerajaan yang bertindak mensabotaj kerajaan malah semua penjawat awam semakin fokus dalam membantu rakyat.
“Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah menjelaskan pekeliling perkhidmatan yang dikuatkuasa dan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kami menerima penjelasan tersebut,” katanya.
Justeru, kenyataan Cuepacs sebelum ini adalah tersasar kerana tiada pemakluman dan kami memohon maaf atas kekhilafan tersebut. -K! ONLINE