KAJANG – Bersedia, tetapi gementar.
Itu antara luahan calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bakal menduduki peperiksaan itu kira-kira dua minggu lagi.
Tinjauan Kosmo! di beberapa buah sekolah di sekitar Kajang semalam mendapati masih ramai pelajar yang hadir pada hari terakhir sesi persekolahan secara bersemuka.
Seorang pelajar, Tasneem Zulkefli, 18, berkata, walaupun masih belum bersedia sepenuhnya menghadapi peperiksaan SPM, dia akur apabila perlu membuat persiapan kendiri di rumah sebelum menduduki SPM pada 22 Februari depan.
“Langkah tutup sekolah ini tidak begitu membebankan, kerana semasa cuti sebelum ini sekolah ada mengadakan kelas secara langsung melalui Google Meet.
“Jadi, sesi pembelajaran itu masih berlangsung. Guru-guru juga banyak membantu dalam membuat persediaan menghadapi SPM,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nurul Adriana Natasya Noor Al Yuhadi, 18, berkata, dia berasa langkah menutup sekolah selama dua minggu ini sedikit mematahkan semangatnya untuk menduduki SPM.
“Keadaan kini sama seperti peperiksaan percubaan SPM baru-baru ini. Pelajar sudah semangat, tiba-tiba sekolah tutup dua minggu dan perlu belajar sendiri.
“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu sekolah ditutup untuk tempoh dua minggu ini, tetapi kami faham langkah ini diambil demi kesihatan semua murid dan guru-guru,” jelasnya.
Katanya, pembelajaran dalam talian bukanlah sesuatu yang mudah kerana komunikasi dua hala antara guru dan pelajar agak terbatas.
Perkara itu turut dipersetujui oleh seorang lagi pelajar, Kirthi Kalithass, 18, yang berpendapat pelajar kini perlu mendapatkan motivasi sendiri untuk terus fokus dalam sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Belajar PdPR memang lain dengan cara belajar di sekolah. Di rumah, pelajar tiada motivasi. Ibu bapa juga sibuk dengan kerja mereka, jadi kadangkala ia tidak teratur.
“Mengenai persiapan SPM, saya sudah bersedia tetapi saya masih ada rasa ragu-ragu dan hanya berharap saya dapat lakukan yang terbaik,” katanya.
Bulan lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia memutuskan hanya calon SPM dan STPM 2020 perlu kembali ke sekolah manakala pelajar lain meneruskan sesi PdPR.
Bagaimanapun, baru-baru ini dimaklumkan sesi persekolahan ditamatkan lebih awal bagi memberi ruang kepada calon membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula 22 Februari ini.-K! ONLINE