BERSEMPENA hari ulang tahunnya baru-baru ini, pelakon Park Bo-young mendermakan sejumlah wang tunai peribadi kepada sebuah persatuan bukan kerajaan (NGO) di Seoul.
Menurut agensi naungannya BH Entertainment, Bo-young dilaporkan menderma 30 juta won (RM28,000) kepada NGO bernama Good Neighbour.
“Sumbangan tersebut digunakan untuk membiayai pembelian peralatan dan produk peribadi khususnya bagi gadis-gadis muda daripada kumpulan keluarga berpendapatan rendah,” tulisnya.
Sementara itu, Bo-young dalam satu kenyataannya turut mengharapkan pertolongan kecil daripadanya sedikit sebanyak dapat membantu penghuni badan tersebut untuk terus kuat menempuh kehidupan mendatang.
Terdahulu, Bo-young pernah mendermakan 50 juta won (RM45,400) kepada beberapa NGO di Korea Selatan bagi menyokong dan mengekang penularan Covid-19 termasuk 20 juta won (RM19,000) kepada Persatuan Bencana Korea bagi membantu mangsa banjir.