PETALING JAYA – Bina Darulaman Bhd. (BDB) bakal menukar konsep bagi premisnya, BDB Hotels yang terletak di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah kepada pangsapuri khidmat ekoran lesen perniagaannya akan tamat dalam masa terdekat ini.
Naib Presiden II dan juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (BDB), Mohd. Sobri Hussein berkata, perubahan konsep ini adalah inisiatif untuk mengharungi cabaran semasa yang dihadapi industri perhotelan ekoran penularan pandemik Covid-19.
“Sebelum ini BDB Hotels menawarkan bilik penginapan dan juga chalet kepada pelanggan tetapi konsep baharu ini akan menyaksikan 72 unit pangsapuri dibuka untuk dijual atau disewa kepada orang awam yang berminat untuk membeli dan menyewa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
BDB Hotels yang mula beroperasi pada tahun 2006 menawarkan lebih 100 bilik penginapan dan juga chalet.
Hotel tersebut dilengkapi dengan dewan mesyuarat yang boleh menempatkan 300 peserta pada satu-satu masa dan juga kolam renang yang luas.
Mohd. Sobri menjelaskan, perubahan konsep berkenaan tidak akan menjejaskan pekerjaan kakitangan BDB Hotels apabila mereka ditempatkan bekerja di syarikat anak-anak syarikat Kumpulan BDB yang lain.
“Kami berharap rancangan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi kebaikan kepada syarikat dan juga kakitangan,” ujarnya.