fbpx

Ayu Damit tebus janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYU DAMIT

BIARPUN pernah dinobatkan sebagai juara dalam program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua pada 2007, nama penyanyi Ayu Damit menyerlah cuma seketika.

Bintang terang, namun kemudian malap. Bukannya tidak pernah timbul dengan buah tangan baharu selepas Hanya Di Mercu, namun sukar untuk ‘melangit’ selepas beberapa tahun menjuarai OIAM.

Hanya pada tahun lalu, nama penyanyi berasal dari Putatan, Sabah itu kembali disebut selepas menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).

Penyertaan dalam program tersebut menjadi platform terbaik buat pemilik nama penuh, Norayu Damit, 32, itu untuk kembali memeriahkan dunia hiburan tanah air

Sedar peluang yang diberikan tidak selalunya diperolehi, Ayu mahu menjadikan penampilannya dalam GV7 sebagai permulaan kembali aktif dan mengisi semula tempatnya sebagai penyanyi wanita tempatan.

“Bila dah masuk GV7, itu adalah pentas untuk saya balik semua ke dalam industri. Sudah lama orang tidak tengok kemunculan saya,” ujar penyanyi berusia 32 tahun itu.

Malah Ayu mengakui sebab utama penyertaannya dalam program GV7 sebagai signal bahawa dia mahu kembali aktif dalam bidang seni tanpa menyerah kalah.

KEHADIRAN single Permata menjadi medan juang buat Ayu meneruskan langkahnya dalam bidang nyanyian.

Kotakan janji

Benar apa yang dikata. Ketika masih dalam pertandingan, kewibawaan Ayu terserlah kerana menampilkan persembahan memukau saban minggu.

Malah, salah seorang juri jemputan ketika GV7 yang juga individu yang bertanggungjawab mencungkil bakat Ayu, iaitu guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat memohon supaya penyanyi genit itu tidak lagi hilang daripada radar dunia hiburan.

“Tolonglah Ayu, jangan hilang lagi,” kata Syafinaz saat selesai memberikan komen positif kepada Ayu.

Seperti mengotakan janjinya, usai selesai GV7 menobatkan Ayu sebagai pemenang tempat ketiga, penyanyi yang bergelar usahawan cili itu kini hadir dengan buah tangan baharu berjudul Permata.

Gembira dan teruja. Itu gambaran perasaan yang dapat diluahkan Ayu terhadap kemunculan single ciptaan Mohd. Atlas bersama Zimi Sofazr tersebut.

Menurut Ayu, dia telah merakam lagu Permata sewaktu masih lagi menyertai GV7 lagi dan menjalani rakaman di Pro Studio di Cheras, Selangor.

“Semasa saya sibuk dengan GV7 lagi, Datuk Gulzar (Mohd. Atlas) ajak jumpa sebab sebelum ini saya pernah bekerjasama dengannya.

“Apabila berjumpa, dia hasilkan melodi dan lirik dalam tempoh satu malam sahaja. Pada malam itu juga kami terus sesuaikan melodi dan lirik sehingga ke pagi,” ujar Ayu yang pernah bersaing dengan penyanyi

Shila Amzah, Siti Sarah dan Intan Sarafina semasa OIAM, 14 tahun tahun lalu.

Ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu lagi, dia tidak berdepan banyak masalah dari segi vokal sewaktu merakamkan Permata.

Tambahan pula katanya, ketika rakaman, dia masih dalam pertandingan GV7 yang sekali gus menjadi medan latihan vokal buat dirinya.

“Saya tidak kekok sangat sebab ketika itu suara sudah biasa digunakan untuk menyanyi dalam nada tinggi atau rendah,” katanya.

SELEPAS tamat program GV7, Ayu kini menyertai sebuah program realiti berjudul Juara Agrotek terbitan RTM berkaitan bidang pertanian. – Seven Studio Production

Juara Agrotek

Merancang untuk menghasilkan video muzik Permata, Ayu bagaimanapun terpaksa akur dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlarutan dan terpaksa menunda dahulu perancangan tersebut.

Mengikut perancangan, dia sudah merangka jalan cerita untuk video muzik Permata yang akan dilakonkan oleh dua orang model sebagai pasangan suami isteri.

Dalam guraunya, Ayu memberitahu dia enggan untuk melakonkan sendiri dalam video muziknya kerana tidak mempunyai bakat dalam lakonan dan enggan kelihatan canggung.

Dalam perkembangan lain, Ayu yang turut dikenali dalam bidang pertanian cili sejak enam tahun lalu turut berkongsi berita bahawa dia dan suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin telah menjadi pembekal cili sejak PKP dilaksanakan pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, kami menjadi pembekal cili. Baru habis cili dan sekarang sedang usahakan tanaman timun pula. Di Pangsoon, Hulu Langat, kami usahakan cili, kacang panjang, timun, terung dan tembikai wangi,” katanya.

Ibu kepada Syed Nashrul Haikal, 12, Sharifah Alya Aryana, 9 dan Syed Aqif Najmi, 6, itu turut menyertai sebuah program dikenali sebagai Juara Agrotek terbitan RTM yang berkaitan dengan bidang pertanian.

“Disebabkan ada pengalaman dalam pertanian, saya pun cuba menyertai program Juara Agrotek. Mula-mula tengok lampiran penyertaan, macam menarik dan saya suruh suami masuk tapi dia tak mahu. Saya pula yang disuruhnya.

“Untuk menyertai program itu kena buat video, tunjuk yang kita ada kebun.Mungkin produksi tertarik dengan persembahan video saya dan akhirnya saya terpilih sertai program selama 13 episod itu,” ujarnya.

Namun, Ayu memberitahu bahawa dia cuma sempat menjalani penggambaran sebanyak tiga episod dan terpaksa ditangguhkan ekoran pelaksanaan semula PKP pada Januari lalu.

Ayu mendakwa, program Juara Agrotek itu lebih sukar berbanding menyertai pertandingan nyanyian.

PERMATA merupakan sebuah karya berkonsepkan balada hasil sentuhan Mohd. Atlas bersama Zimi Sofazr.

Dia menjadi satu-satunya peserta dalam kalangan selebriti yang terpilih dalam musim kali ini.

“Saya seorang sahaja artis, peserta lain pun pun ada kerjaya masing-masing dan bukannya petani sepenuh masa.

“Tak rugi saya sertai Juara Agrotek sebab banyak ilmu pertanian yang dipelajari. Contohnya, kita selalu buang daun nanas tetapi sebenarnya daun itu amat berharga sebab boleh buat benang. Harga serat benang untuk 100 gram bersamaan dengan RM100,” ceritanya.

Menyimpan impian setinggi gunung, Ayu berharap apa yang diusahakan pada hari ini akan berkekalan tidak kira sebagai penyanyi mahupun petani.

“Sebelum ini saya pernah berputus asa dalam bidang nyanyian sebab radio tak mainkan pun lagu saya.

“Sekarang, saya akan teruskan lagi perjuangan dalam bidang seni. Peminat pun dah nampak kehadiran saya. Jadi saya tidak boleh mengalah lagi,” katanya menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI