PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk sektor industri kreatif sebagai sesuatu yang pelik.
Perkara tersebut disuarakan pemilik nama penuh Rita Rudaini Mokhtar selepas pihak kerajaan memaklumkan individu dan rumah produksi yang ingin memulakan pengambaran perlu menjalani ujian calitan Covid-19 terlebih dahulu.
“Kenapa penggiat industri filem perlu buat ujian saringan kalau nak mulakan pengambaran? Kenapa salon, pasar malam, pub dan lain-lain tak perlu buat ujian calitan jika ingin beroperasi semula?
“Kenapa perlu buat ujian saringan kalau sudah duduk rumah ya? Pelik-peliklah!,” tulisnya dalam InstaStory hari ini.
Dalam pada itu, pelakon drama Misi Laksa dan Laksam itu juga mempersoalkan mengapa hanya 20 orang kru produksi sahaja dibenarkan berada di sesebuah lokasi pengambaran.
“20 orang sahaja? Kalau macam itu, hadkan juga kapasiti yang sama di pejabat, restoran dan pusat beli belah.
“Semua itu tempat tertutup. Pasar malam dan kelab dangdut juga perlu 20 orang. Mana-mana pun SOP 20 orang sahaja,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) pernah menggesa kerajaan supaya memberikan kebenaran bagi aktiviti penggambaran mengikut SOP ditetapkan.
Perkara tersebut diusulkan oleh Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli kerana khuatir dengan keadaan warga industri kreatif yang semakin nazak disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari depan.
Semalam, Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan semua aktiviti sektor industri kreatif boleh beroperasi semula tetapi perlu mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan.
Antara SOP baharu yang ditetapkan ialah kapasiti kru produksi untuk mana-mana pengambaran drama dan program hiburan hanya 20 orang sahaja.
Manakala, tempoh operasi pengambaran pula dihadkan dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam sahaja.
Semua kru produksi dan selebriti yang terlibat juga perlu melakukan ujian saringan Covid-19 dan hanya keputusannya negatif sahaja dibenarkan bekerja.
Berhubungan rungutan anak seni tentang SOP baharu yang diperketatkan, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli kini bersedia untuk untuk bersemuka dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi berbincang lebih lanjut tentang perkara tersebut termasuk aktiviti penggambaran di luar studio. – K! ONLINE