SIK – Seorang suri rumah nyaris dipatuk ular tedung selar yang berada di bawah meja makan di dapur rumahnya di Kampung Merbau Kudung di sini semalam.
Mangsa, Jamaliah Said, 56, berkata, dia menemui ular sepanjang 3.35 meter dan seberat lapan kilogram itu ketika ingin menutup tingkap dapur rumahnya pada pukul 7 malam.
Menurutnya, pada mulanya, dia terdengar bunyi sesuatu sedang bergerak di atas lantai di dapur rumahnya itu.
“Saya kemudiannya memeriksa bunyi tersebut dan terkejut apabila melihat seekor ular tedung selar yang besar sedang melingkar di bawah meja makan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, dia kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada menantunya, Norashikin Mhd Hassan, 29, yang berada di dalam rumah sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu menangkap ular tersebut.
Pada dua minggu lepas, Jamaliah memberitahu, seekor ular jenis yang sama juga telah memasuki bilik air rumahnya. – K! ONLINE