SHEFFIELD – Chelsea meneruskan kebangkitan di bawah pengurus baharu, Thomas Tuchel selepas menang 2-1 ke atas Sheffield United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Bramall Lane awal pagi semalam.
Dua gol masing-masing menerusi jaringan Mason Mount dan Jorginho sudah cukup buat The Blues membawa pulang tiga mata, manakala tuan rumah memperoleh satu gol hasil jaringan sendiri Antonio Rudiger.
Tuchel tanpa berselindung mengakui gembira dengan permulaan cemerlang bersama Chelsea, lebih-lebih lagi hanya dibezakan satu mata dengan pasukan tangga keempat, Liverpool.
“Bola sepak di England amat sukar kerana ia lebih fokus kepada fizikal selain setiap pasukan memiliki kualiti tersendiri. Selain itu, jadual perlawanan juga sangat padat.
“Saya gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar dan kami berjaya dapatkan tiga mata lagi hari ini (semalam). Semua pemain berada dalam keadaan cukup bersemangat sekarang,” ujar Tuchel.
Bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) itu juga sangat berpuas hati dengan prestasi setiap pemain ketika ini selain percaya pemain-pemainnya sangat dahagakan kemenangan.
“Pasukan ini sebenarnya sudah bersedia dan sangat dahagakan kemenangan. Saya dapat rasakannya setiap kali melangkah masuk ke padang latihan,” katanya. – AGENSI