fbpx

PTVM desak MKN benarkan penggambaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUREY LATIFF ROSLI

KERAJAAN melalui Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kedai gunting rambut, pasar malam dan pusat cuci kereta dibenarkan kembali beroperasi bermula 5 Februari lalu.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut hendaklah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara syarat yang dikeluarkan termasuklah, bagi kedai gunting rambut, hanya perkhidmatan memotong rambut yang dibenarkan selain pekerja perlu sentiasa memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika mengendalikan pelanggan.

Kebenaran operasi terhadap tiga sektor tersebut telah memberi kelegaan buat banyak pengusaha. Masing-masing seperti kembali bernafas untuk meneruskan kelangsungan hidup mencari rezeki seperti biasa biarpun dengan SOP yang ketat.

Bagaimanapun, pengumuman tersebut telah menimbulkan persoalan terhadap golongan yang terlibat dengan sektor industri kreatif, terutamanya dalam kalangan pemilik rumah produksi kerana masih tidak dibenarkan menjalankan penggambaran.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli antara yang tampil bersuara dan memohon supaya kerajaan mempertimbangkan semula kebenaran untuk penggiat seni kembali bekerja.
Jurey melahirkan rasa simpati terhadap semua penggiat seni yang terkesan selepas tidak dibenarkan kembali bekerja sehingga kini.

“Saya selalu berhubung dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk mendapatkan maklumat terkini status berkenaan selepas berurusan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tahun lepas selama berbulan-bulan pemain industri seni melalui saat getir sehinggakan kita perlu mencari alternatif bagi membantu para penggiat seni yang terkesan,” katanya menerusi sesi Live menerusi Facebook.

Menurut Jurey lagi, dia terpaksa menggunakan media sosial untuk bersuara supaya hasrat penggiat seni untuk dibenarkan kembali bekerja sampai ke pengetahuan MKN.

“Apabila pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenarkan untuk beroperasi semula dengan SOP, jadi saya terfikir kenapa kami (industri kreatif) tidak diberikan kebenaran sama untuk mula bekerja?

“Mungkin sebab suara kami tidak kuat untuk sampai kepada MKN. Pihak Finas sudah berusaha dan kini tiba masanya untuk kami pula bersuara,” ujarnya.

Jurey turut mewakili semua penggiat industri kreatif memohon supaya kerajaan membenarkan industri seni dihidupkan semula selewat-lewatnya semalam, 8 Februari 2021.

“Saya berharap kerajaan dengar rintihan kami dan tahu bahawa kami juga ingin cari makan. Kami tidak meminta sedekah, kami hanya mahu bekerja.

“Apa lagi yang perlu kami buat supaya dibenarkan kembali bekerja? Pemain industri seni tidak ada gaji bulanan dan tiada pendapatan tetap.

“Kami akan patuh pada SOP dengan memakai pelitup muka, sentiasa menggunakan cecari pembasmi kuman dan jaga penjarakan fizikal,” jelasnya.

Pada masa sama, Jurey turut melahirkan rasa kagum terhadap beberapa rakan dalam kalangan penggiat seni apabila sudah mula bersuara.

Antaranya seniwati Fauziah Nawi yang sanggup menyatakan keinginan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan pesan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan MKN supaya membenarkan karyawan untuk melakukan penggambaran semula.

FAUZIAH NAWI

“Rasa nak merafak sembah ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong untuk sampaikan pesan kepada PM (Perdana Menteri) dan Menteri supaya membenarkan karyawan shooting semula.

“Tuanku, rakyat (karyawan) dalam keadaan genting. Ampun Tuanku,” katanya dalam satu hantaran dalam Instagramnya baru-baru ini.

Tindakan Fauziah Nawi itu jelas menunjukkan penggiat seni seperti pelakon, pengarah, penerbit dan kru produksi kini berada dalam keadaan nazak untuk meneruskan kehidupan dalam situasi pandemik yang tidak diketahui pengakhiran.

TANGKAP layar perkongsian status Fauziah Nawi.

Jika dirujuk semula kes-kes Covid-19 sebelum ini, masih belum timbul lagi kluster membabitkan industri kreatif.

Jika ada, cuma melibatkan beberapa orang artis disahkan positif, bukannya dalam skala besar.

Pengarah, Raja Mukhriz Raja Ahmad pula mendedahkan, data sektor kreatif sebagai penyumbang Covid-19 tidak menunjuk kan peratus yang mengancam.

“Sebanyak 64.3 peratus kluster baharu adalah daripada industri pekerjaan. Perkilangan paling tinggi, diikuti pembinaan dan ketiga perkhidmatan,” katanya.

Jurey juga akur dengan keputusan kerajaan, namun meletakkan harapan besar supaya golongan pekerja kreatif diberikan kelonggaran untuk mencari sesuap nasi.

“Saya sanggup menghadap pihak sepatutnya untuk memohon supaya kami dibenarkan bekerja.

“Apabila kerajaan membenarkan peniaga pasar malam kembali beroperasi, pemain industri seni juga perlu bekerja semula. Kami tidak mengharapkan sumbangan dan bantuan sampai bila-bila kerana Allah SWT masih memberi kami kudrat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI