fbpx

Pengedar dadah dicekup selepas dua bulan beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Dato Harun, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Tindakan tiga lelaki melibatkan diri dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu akhirnya mengundang padah apabila mereka dicekup dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Dato Harun di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, serbuan dilakuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya susulan risikan yang dilakukan.

“Serbuan dilakukan kira-kira pukul 2.45 petang dan telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 46 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya telah menemui sebanyak 88 peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 71 gram dianggarkan bernilai RM7,100 di atas katil suspek,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nik Ezanee, pihak polis turut merampas enam peket plastik lutsinar kosong serta sebuah alat penimbang digital dan hasil saringan awal air kencing mendapati ketiga tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mula melibatkan diri dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu dan memperolehi dadah berkenaan daripada suspek lain yang dikenali sebagai ‘Boy’ dan ‘Wan Bangau’ yang aktif di sekitar Lembah Klang.

Tambah beliau, susulan risikan maklumat yang diperolehi, satu lagi serbuan telah dilakukan pada hari yang sama kira-kira pukul 5.30 petang di kawasan sama sekaligus berjaya membuat tangkapan ke atas suspek berusia 34 tahun yang dikenali sebagai ‘Wan Bangau’.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas suspek telah menemui lima peket plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai jenis syabu seberat 5.1 gram dan lelaki berkenaan juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Tiga suspek dalam serbuan pertama kini direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek ke empat pula direman tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, siasatan masih diteruskan ke atas suspek bagi melihat penglibatan mereka terutama dalam kes pengedaran dadah di kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI