IPOH – Tiada sebarang aduan diterima pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Perak berhubung isu ketidakpuasan pelanggan atau kelewatan kerja melibatkan syarikat perkhidmatan penghantaran.
Baru-baru ini tular satu rakaman di media sosial pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja yang dikatakan berlaku disalah sebuah premis di negeri ini.
Rakaman video berdurasi 15 saat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, mana-mana pengguna yang ingin membuat tuntutan boleh ke mana-mana pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di negeri ini.
Bagaimana pun katanya, pengguna dinasihatkan untuk menyelesaikan isu tersebut dengan pihak perkhidmatan kurier terbabit terlebih dahulu sebelum mengemukakan tuntutan di TTPM gagal mencari penyelesaian.
“Setakat ini, pihak TTPM negeri Perak belum menerima sebarang tuntutan berkaitan isu ini. Mungkin mereka sedang menyelesaikan kes di peringkat syarikat terbabit.
“Sepertimana semua pihak sedia maklum, tuntutan di TTPM merupakan penyelesaian terakhir. Pengguna boleh hadir ke pejabat KPDNHEP di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau di cawangan-cawangan untuk menfailkan tuntutan,” katanya kepada pemberita.
Abdul Yunus ditemui selepas melakukan tinjauan dan pemantauan Musim Perayaan Tahun Baru Cina tahun 2021 di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini.
Turut serta pada tinjauan tersebut ialah Timbalan Pengarah KPDNHEP Perak, Dottie Azlina Ismail.
Dalam pada itu, seramai 176 pegawai penguat kuasa dan 79 pegawai pemantau harga akan berada di lokasi-lokasi seperti pasar awam, pasar pagi, pasar tani dan pusat membeli belah di negeri ini untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.
Penugasan ini bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina tahun 2021 (SHMMP).
Sebanyak 16 jenis barang-barang keperluan bagi pelaksanaan SHMMP antaranya ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 196- K! ONLINE