BACHOK – Seramai 2,000 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dijangka kembali ke tiga kampus universiti itu di negeri ini bagi menyambung semula pengajian masing-masing dalam semester baharu yang akan bermula 1 Mac depan.
Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr. Noor Azizi Ismail berkata, penuntut dari zon merah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh itu dan mengemukakan keputusannya ketika melapor diri.
“Manakala bagi kategori pelajar yang berisiko (melibatkan pelajar dari zon merah, Sabah dan Sarawak) akan dikuarantin terlebih dahulu selama 10 hari sebelum memulakan pengajian pada semester baharu yang akan ditempatkan di bilik-bilik khas yang disediakan di kolej kediaman ketiga-tiga kampus UMK.
“Mereka diasingkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk kita memastikan wabak Covid-19 tidak menular dalam kalangan warga kampus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis ringkas penyerahan sumbangan pelindung muka atau face shield kepada para pengamal media di negeri ini yang bernaung di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi). – K! ONLINE